ATM Labur RM800 000 Setahun Untuk Atlet Tentera

. Kamis, 30 Januari 2014


KUALA TERENGGANU – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperuntukkan sebanyak RM800,000 setahun untuk program latihan serta penyertaan atletnya dalam kejohanan peringkat serantau dan dunia.

Panglima Divisyen Kedua Infantri, Mej.Jen. Datuk Mohd Shukri Ahmad berkata ATM kini sedang menambahbaik mutu atletnya dalam usaha mengetengahkan atlet dalam mewakili negara ke Sukan Olimpik, Asia mahupun Sukan SEA dalam mana-mana acara sukan terpilih.

“Kita bukan sahaja mahu melahirkan atlet yang dapat mewakili negara ke peringkat Sukan SEA dan Asia, tetapi juga kita turut mensasarkan atlet untuk menyertai acara sukan di peringkat dunia.

“Kita juga menyasarkan beberapa acara di peringkat dunia seperti sukan payung terjun, walaupun tidak ada di peringkat Sukan SEA mahupun Sukan Olimpik tetapi ia merupakan sukan yang agak popular dalam kalangan negara Asean,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak di sini Jumaat.

Kejohanan enam hari itu melibatkan penyertaan seramai 300 atlet ATM dan beberapa acara sukan seperti payung terjun, berbasikal, boling padang dan skuasy.

Menurutnya, ATM turut memberikan insentif kepada jurulatih, serta mempercepatkan kenaikan pangkat kepada atlet yang berjaya mewakili negara serta menyediakan kemudahan prasarana yang lengkap untuk kemudahan atlet.

“Melalui penganjuran sukan sebegini, dengan latihan dan bimbingan yang berkesan, kita harap mereka berpotensi untuk mewakili negara,” katanya.

Mohd Shukri berkata ATM turut mempunyai ramai atlet yang mewakili negara dalam Sukan Olimpik, Asia dan Sukan SEA sekitar tahun 70-an.

“Sekarang, ATM juga mempunyai beberapa atlet yang mewakili negara dalam beberapa acara seperti silat, olahraga, menembak serta lumba basikal dan kita juga dalam usaha memperkukuhkan atlet dalam acara memanah,” katanya. – BERNAMA

0 komentar: