Ashraf Muslim Ada Pihak Ambil Kesempatan Atas Situasi Saya
“ADA pihak yang sengaja mengambil kesempatan di atas situasi saya,” begitulah komen ringkas Ashraf Muslim, 32, kepada Sinar Harian berhubung sebuah puisi yang tersebar, baru-baru ini.
Meskipun penulis sebenar puisi itu, Ana Hawana sudah pun tampil memberikan penjelasan secara eksklusif menerusi Sinar Harian semalam, namun ia tidak mampu menghentikan kemelut cinta tiga segi yang dialami aktor Aku Masih Dara itu.
Sehingga kini, Ashraf masih mengambil pendekatan berdiam diri dan mengelak daripada bertemu media bahkan orang lain sekalipun.
Malah dia juga gagal menghadiri beberapa majlis hiburan termasuk Forum Bicara Cinta anjuran Majalah I, yang berlangsung di Busana Mall, Medan Mara, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Editor majalah tersebut, Sarina Mohd Som, sebelum ini aktor itu sudah bersetuju menghadiri forum tersebut bersama panel lain, Sham Kamikaze, Ustaz Muhammad dan Ikbal El Sunury.
Bagaimanapun, di saat-saat akhir Ashraf memaklumkan dia demam dan tidak dapat hadir.
Sementara itu, Sinar Harian turut menerima sekeping gambar perkahwinan Ashraf dan isteri keduanya, Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29.
Meskipun dikatakan kahwin lari’di Thailand pada 7 Julai lalu, namun majlis pernikahan mereka dilihat berlangsung secara sempurna apabila pasangan ini tampil mengenakan pakaian sedondon berwarna coklat.
Malah jari-jemari Sakinah turut dihias indah dengan inai merah.
Situasi ini menunjukkan seolah-olah perkahwinan mereka bukan dilakukan secara tergesa-gesa tetapi dirancang dengan baik.
Bagaimanapun hanya Ashraf mahupun Sakinah yang boleh memberi penjelasan mengapa mereka memilih untuk bernikah di Thailand, sedangkan permohonan poligami sudah dibuat.
Ashraf dan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26, bernikah di Makkah pada 30 Ogos 2011.
Sehingga kini mereka masih belum dikurniakan zuriat.
Bapa mertuanya, Lokman Abdul Hamid, 54, pernah memberikan kenyataan bahawa Dayana tidak pernah reda dengan pernikahan kedua Ashraf. – Sinar Harian
0 komentar:
Posting Komentar