Kecoh Orang Ramai Berebut iPhone
PASADENA, California – Suasana perkhemahan terbuka di luar sebuah Kedai Apple di sini bertukar kecoh kelmarin apabila dua lelaki ditangkap kerana bergaduh manakala taktik seorang lelaki mengupah beberapa gelandangan untuk beratur bagi mendapatkan telefon pintar baharu iPhone memakan diri, kata pihak berkuasa.
Orang ramai berkhemah di luar Kedai Apple sejak malam kelmarin sementara menunggu premis berkenaan dibuka pada keesokan harinya,
Seorang pegawai polis tempatan, Leftenan Jason Clawson berkata, berpuluh-puluh penghuni sebuah rumah amal yang diupah untuk membeli iPhone tidak dibayar oleh seorang lelaki yang mengupah mereka.
“Mereka kemudian mengasak lelaki berkenaan,” kata Clawson.
Seorang lelaki gelandangan berkenaan ditahan selama 72 jam selepas dia berlari ke jalan raya dalam keadaan marah, kata Clawson.
Rakaman berita televisyen menunjukkan polis meleraikan beberapa pergaduhan kecil dan cuba menenangkan pelanggan yang marah.
Dominoe Moody, 43, memberitahu akhbar Los Angeles Times bahawa dia dibawa menaiki sebuah van sejauh 10 kilometer dari Los Angeles ke sini bersama beberapa gelandangan lain oleh seorang lelaki.
Mereka diminta beratur selama semalaman untuk menunggu kedai itu dibuka.
Moody dijanjikan upah AS$40 (RM131) tetapi menyatakan, dia tidak dibayar kerana lelaki itu ditahan polis selepas dia menyerahkan iPhone yang dibelinya kepada individu tersebut.
Kekecohan itu berlaku selepas orang ramai membuat aduan kerana berang melihat taktik lelaki itu.
“Ini tidak adil. Saya berdiri di luar kedai ini sepanjang malam,” kata Moody kepada akhbar itu sambil menambah, dia tiada pengangkutan untuk kembali ke Los Angeles.
Lelaki berkenaan yang memegang sebuah beg sarat berisi iPhone baharu versi 5S dan 5C, diusir oleh polis pada pukul 9.30 pagi kelmarin.
“Kami tidak menahannya kerana dia tidak melakukan sebarang jenayah,” kata Clawson.
Dalam kejadian berasingan beberapa jam lebih awal di kedai sama , dua lelaki ditahan kerana bertumbuk ketika beratur untuk membeli iPhone.
Tidak ada kecederaan serius dilaporkan. Polis menganggarkan sekurang-kurangnya 200 orang berada di kaki lima di luar kedai itu sejak malam kelmarin.
Menurut Clawson, pihak pengurusan kedai itu mengupah dua anggota polis bandar ini untuk mengawal orang ramai.
Model iPhone baharu 5S dan 5C berada dalam pasaran seluruh dunia sejak kelmarin. – AP
0 komentar:
Posting Komentar